Sultan Nazrin rasmi pameran Segerak VIII: Utopia

Irwan Muhammad Zain
Ogos 8, 2019 07:00 MYT
Sultan Nazrin (dua dari kiri) dan Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan mendengar penjelasan Yusof tentang pameran seni Segerak VIII: Utopia. - Astro AWANI/Shahir Omar
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli melancarkan pameran Segerak VIII: Utopia karya artis terkenal Yusof Ghani.
Baginda diiringi isteri, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim meluangkan masa kira-kira 30 minit melihat 30 karya Yusof yang dipamerkan untuk tatapan umum.
Karya-karya Yusof dipamerkan di Galeri Prima bermula 1 hingga 18 Ogos ini dengan kerjasama Curate Henry Butcher dan PINKGUY Gallery.
Pameran ini merupakan yang terakhir untuk siri Segerak dan Yusof bakal tampil dengan siri pameran dengan tema lain.
Segerak mula diperkenalkan pada 2004 dan ia telah dipamerkan untuk beberapa siri.
Siri pameran Segerak pernah menjelajah di beberapa buah bandar raya sebelum ini antaranya London, Madrid, Hong Kong dan lain-lain.
Menurut Yusof, Segerak membolehkan beliau meneroka figura manusia sebagai simbol kehidupan yang kemudiannya diterjemahkan kepada penyataan abstrak.
“Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya menerusi kembara dan warisan merupakan sumber tenaga, pergerakan dan kekuatan yang saya dapati menerusi gabungan ekspresi lukisan dan catan,” katanya.
Selain Segerak, Yusof juga dikenali dengan siri Tari, Topeng, Wayang, Hijau, Biring, Wajah dan Ombak.
#pameran lukisan #Pameran seni #Segerak VIII Utopia #sultan nazrin #Sultan Perak #Yusof Ghani
;