Sultan Nazrin pangku jawatan YDP Agong

Harits Asyraf Hasnan
Januari 7, 2019 05:45 MYT
Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan di Istana Negara. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber terdekat kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan di Istana Negara di sini.
Sultan-sultan yang hadir mesyuarat lebih satu jam itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah; dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.
Pada mesyuarat tersebut, keenam-enam Sultan turut menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas majlis memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Bagaimanapun, sumber memaklumkan butiran lanjut berkenaan mesyuarat hari ini akan dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
#Istana Negara #pelantikan Agong #pemilihan Agong #Sultan Ibrahim #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #Syed Danial Syed Ahmad #Yang di-Pertuan Agong