Sultan Nazrin masyhur Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan

Bernama
Oktober 25, 2018 18:13 MYT
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim melihat replika gua ketika Majlis Pemasyhuran Geopark Lembah Kinta di Taman Rekreasi Gunung Lang, hari ini. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan memasyhurkan Geopark Lembah Kinta di sebagai Geopark Kebangsaan.
Turut berangkat ke masjlis yang berlangsung di Taman Reakreasi Gunung Lang di sini Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing serta anggota exco kerajaan negeri.
Kawasan Geopark Lembah Kinta berkeluasan 1,952 hektar merangkumi daerah Kinta dan Kampar kini diletakkan di bawah pengurusan dan pemantauan Perbadanan Taman Negeri Perak dan telah diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun lepas.
Kawasan Geopark Lembah Kinta yang kaya dengan warisan geologi, biologi, warisan dan sejarah di bawah seliaan perbadanan juga akan diperkenalkan sebagai ikon untuk destinasi ekopelancongan, pelancongan marin dan 'geo tourism'.
Terdahulu, Xavier dalam ucapannya berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM10.7 juta dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) untuk Projek Penilaian Potensi Pembangunan Geopark untuk Pengekalan dan Pemuliharaan Sumber Semulajadi Negara.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM276,000 disalurkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak sejak 2017 bagi pelaksanaan kajian dan penyelidikan yang lengkap dan terperinci dari aspek geologi.
Selain itu, katanya sebanyak RM1.592 juta peruntukan disalurkan oleh kerajaan negeri Perak kepada JMG Perak sejak 2014 sehingga tahun lepas.
"Ini menunjukkan komitmen jitu kerajaan negeri dalam memelihara khazanah warisan alam dan budaya setempat seterusnya boleh diusahakan secara lestari melalui aktiviti ekopelancongan.
"Kementerian sebagai Jawatankuasa Geopark Kebangsaan sentiasa bersedia memberi bantuan dan kerjasama serta sokongan padu kepada kerajaan-kerajaan negeri dalam agenda mewujudkan Geopark Kebangsaan," katanya.
Justeru itu, Xavier berkata pengiktirafan Geopark Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan akan merancakkan lagi rangkaian ekopelancongan sedia ada sekali gus menaikkan imej negeri dan negara.
Sementara itu, Tan dalam ucapannya berkata pengiktirafan Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan dapat meningkatkan daya saing sektor pelancongan negeri seterusnya merealisasikan potensi besar aktiviti huluan dan hiliran pelancongan dalam mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan rakyat di negeri ini.
"Ini bertepatan dengan iltizam kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.
"Bagi pihak kerajaan negeri, kami merakamkan penghargaan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli atas segala bantuan dalam merealisasi menjadikan Lembah Kinta sebagai tapak Geopark Kebangsaan," katanya.
-- BERNAMA
#Exco #Geopark Kebangsaan #Ipoh #Malaysia #pelancongan #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak
;