Sultan Nazrin mahu MAIPk jadi badan bertindak hijrah pemikiran, budaya ummah
Bernama
Januari 12, 2024 17:10 MYT
Januari 12, 2024 17:10 MYT
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mahu peranan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tidak hanya terbatas sebagai badan yang berorientasikan isu tetapi menjadi sebuah badan bertindak yang berupaya menghijrahkan pemikiran dan budaya ummah menjadi lebih dinamik dan progresif.
Selain berperanan menasihati Sultan, baginda mahu MAIPk turut menjadi badan bertindak dan kumpulan kerja yang aktif menggerakkan pelbagai program untuk meningkatkan syiar Islam.
"... memakmurkan pelbagai institusi Islam terutamanya masjid, memajukan pemikiran serta memperkayakan modal sosial dan modal budaya ummah melalui pelbagai aktiviti serta inovasi yang berupaya menarik lebih ramai golongan remaja mengimarahkan masjid," titah Sultan Nazrin pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan anggota MAIPk bagi penggal 2024-2025 dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah MAIPk perlu mewujudkan rangkaian strategik agar berupaya berperanan lebih bermakna, dalam memenuhi tugas-tugas fardu kifayah untuk memajukan ummah dan meningkatkan syiar Islam berikutan isu utama semasa, cabaran serta sumber kewangan dan sumber manusia yang terhad.
Baginda berpendirian dalam hasrat mewujudkan pendekatan strategik tersebut, MAIPk bersama institusi Orang Besar Jajahan, Jabatan Agama Islam, Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Yayasan Perak, Majlis Belia Negeri serta jawatankuasa masjid, perlu bergabung.
Sultan Nazrin bertitah ia bagi mengoptimumkan, menyelaras dan mengkoordinasi sumber dan tenaga, merintis usaha, memperkenalkan dan melaksanakan program lebih inovatif dan kreatif sifatnya, bersasar, berfokus sesuai dengan cabaran dan keperluan semasa.
"Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkayakan generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan, melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan dan digabungkan," titah Sultan Nazrin.
Menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua dan anggota MAIPk bagi penggal 2021-2023, atas khidmat bakti mereka dan mengalu-alukan barisan anggota bagi penggal 2024-2025, Sultan Nazrin bertitah program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus.
Titah baginda Islam akan lebih dihormati dan akan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
"Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram, serta nama yang lompong tanpa pengisian yang bermakna, ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisi Islam dengan kandungan yang meyakinkan.
"Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah," titah baginda.
Sementara itu Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada institusi agama Islam di negeri Perak yang melaksanakan kempen 'Katakan Tidak Kepada Plastik Sekali Guna' dan kepada pihak yang memberikan kerjasama termasuk ibu bapa, guru, kakitangan sekolah serta pelajar.
Baginda bertitah kejayaan MAIPk bersama Jabatan Agama Islam Perak melaksanakan kempen meminimumkan penggunaan bahan-bahan plastik wajib diperluaskan agar memberi kesan lebih signifikan.
"Untuk itu, beta telah memperkenankan lantikan Pengarah Jabatan Alam Sekitar sebagai seorang daripada anggota MAIPk, dipercayai Jabatan Alam Sekitar dapat memberikan input dan garis panduan penting membantu hasrat dan usaha MAIPk untuk menyedarkan rakyat melalui institusi masjid, maahad tahfiz dan sekolah agama, aktiviti pemuliharaan alam sekitar.
"Umat Islam wajib berada di barisan hadapan, menjadi contoh teladan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap perbuatan mencemari alam yang wajib dikawal, institusi agama Islam dan masjid hendaklah juga berada di barisan hadapan menyedarkan rakyat mengenai program kitar semula serta menghentikan perbuatan mencemarkan sungai dan sumber air," titah baginda.
-- BERNAMA