Sultan Nazrin gesa perangi GISB habis-habisan - Menteri Besar Perak

Bernama
Oktober 9, 2024 10:00 MYT
Sultan Nazrin Shah menggesa supaya kegiatan kumpulan GISB diperangi habis-habisan kerana ia menyimpang daripada ajaran dan akidah Islam, kata Menteri Besar, Saarani Mohamad (gambar).
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menggesa supaya kegiatan kumpulan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd diperangi habis-habisan kerana ia menyimpang daripada ajaran dan akidah Islam, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata, gesaan itu dibuat selepas laporan lengkap yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah diteliti.
"Laporan daripada JAIPk itu turut mengenal pasti beberapa kumpulan di Perak yang dikhuatiri terlibat dalam ajaran sesat. Kita tidak akan berdiam diri, sebaliknya, ajaran sesat ini perlu diperangi hingga ke lubang cacing kerana ia melibatkan soal akidah dan agama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sukma dan Para Sukma, di sini, malam tadi.
Pada 4 Okt lepas, media melaporkan Saarani menyatakan bahawa segala tindakan berkaitan GISB hanya boleh dilaksanakan setelah laporan mengenai kegiatan syarikat tersebut yang disediakan oleh JAIPk dipersembahkan kepada Sultan Nazrin.
Sehari sebelum itu, media melaporkan bahawa Saarani menyatakan bahawa kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemulihan Akidah Pengikut GISB, mirip kepada yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Johor, setelah perincian mengenainya diperoleh dan dipersembahkan kepada Sultan Nazrin.
Sementara itu, Saarani menegaskan, isu ini juga akan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk tindakan susulan.
"Selain MKI, Jabatan Mufti Negeri Perak dan JAIPk juga akan dipanggil untuk membantu dalam memastikan gerakan ini dapat dilumpuhkan," katanya. - BERNAMA
#eksploitasi kanak-kanak #akidah islam #Sultan Nazrin Shah #GISB
;