Sultan Nazrin berkenan serah sijil pengiktirafan berprestij sempena Hari Harimau Sedunia
Bernama
Ogos 3, 2023 18:32 MYT
Ogos 3, 2023 18:32 MYT
GERIK: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menyerahkan sijil penghargaan kepada 10 renjer dan sijil pengiktirafan atau akreditasi berprestij Pemuliharaan Terjamin|Standard Harimau (CA|TS) kepada Taman Negeri Royal Belum (RBSP), di sini.
Baginda yang juga penaung Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia berkenan menyampaikan sijil berkenaan atas sumbangan cemerlang pihak berkenaan dalam pelaksanaan usaha pemuliharaan Harimau Malaya.
Sijil pengiktirafan itu diserahkan Sultan Nazrin kepada Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) Mohamed Shah Redza Hussein pada majlis sambutan Hari Harimau Sedunia 2023 anjuran WWF Malaysia dan Yayasan Maybank di Belum Rainforest Resort di sini.
Turut berangkat Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Presiden WWF Malaysia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.
Keberangkatan tiba baginda pada 11 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Terdahulu, Nik Nazmi dalam sembah ucapannya memohon kerajaan negeri Perak meminda Enakmen Negeri mengikut pindaan Akta Perhutanan Negara 2022 yang melibatkan aspek penggantian hutan simpan kekal dan proses penyiasatan awam yang wajib dibuat selepas proses penyahwartaan.
"Usaha ini adalah untuk memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran dan meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan hutan. Pindaan tersebut membolehkan pesalah hutan simpan kekal berdepan hukuman lebih berat," katanya.
Mengulas lanjut ketika ditemui selepas majlis tersebut, Nik Nazmi berkata setakat ini Selangor sudah pun meminda Enakmen Negeri berkaitan penggantian hutan kekal, manakala Perlis dalam proses melakukan perkara itu.
Beliau berkata pindaan itu melibatkan proses penyahwartaan membabitkan penyiasatan awam, selain memerlukan penggantian kawasan hutan di tempat lain untuk dijadikan hutan simpan kekal.
"Jadi ini adalah dua mekanisme yang sangat penting untuk memelihara habitat seperti Harimau Malaya kerana Malaysia merupakan antara 17 negara biodiversiti mega, paling tinggi biodiversiti dan antara punca kepupusan (hidupan liar)," katanya.
Sementara itu, Pengerusi WWF Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam sembah ucapannya berkata kejayaan RBSP, di bawah naungan PTNP menerima akreditasi berprestij CA|TS menempatkan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara untuk melaksanakan CA|TS.
"Dengan ini, Malaysia kini sebaris dengan negara-negara Asia seperti India dan Nepal yang telah pun menerima akreditasi CA|TS," katanya.
Disambut pada 29 Julai setiap tahun, Hari Harimau Sedunia merupakan inisiatif global yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memulihara harimau dan acara tahun ini bertemakan Roar for the Future disokong padu oleh pelbagai sektor untuk menyelamatkan Harimau Malaya.
-- BERNAMA