Sultan Nazrin berkenan sempurnakan perasmian Perak Agrofest 2023

Bernama
September 30, 2023 12:42 MYT
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (dua dari kanan) berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan majlis perasmian Perak Agrofest 2023, Subgai Siput, Perak, pada Sabtu. - Gambar BERNAMA
SUNGAI SIPUT: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan majlis perasmian Perak Agrofest 2023, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 10.05 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani dalam sembah ucapannya di majlis itu berkata, kerajaan negeri telah melipatgandakan usaha dan ikhtiar supaya segala inisiatif memperkukuhkan sekuriti makanan seperti digagaskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan, khususnya melalui kolaborasi agensi dan jabatan berkaitan sektor pertanian untuk menjana pengeluaran hasil makanan berskala besar.
Beliau berkata, untuk sektor pertanian, Nisbah Sara Diri (SSR) negeri Perak pada tahun 2022 bagi 13 jenis tanaman terpilih antaranya kelapa, belimbing dan betik, adalah mencukupi serta memenuhi permintaan domestik dengan nilai SSR melebihi 100 peratus.
Bagi sektor perikanan pula, Saarani berkata, Perak merupakan peneraju di Malaysia dengan jumlah pengeluaran yang tertinggi untuk aktiviti akuakultur dan perikanan tangkapan sehingga mencatatkan Tahap Kadar Sara Diri (SSL-Self Sufficiency Level) pada kadar 98.31 peratus pada tahun lepas.
Sementara itu bagi sektor komoditi ternakan untuk tahun 2022 pula, beliau berkata, komoditi unggas telah melebihi nilai SSR 100 peratus iaitu daging ayam serta itik dan telur ayam serta itik.
Pada program hari ini, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 15 anugerah kepada pemenang pertandingan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Peringkat Negeri Perak Tahun 2023.
Sultan Nazrin turut berkenan melawat ruang pameran jabatan dan agensi yang disediakan sempena program hari ini, sebelum berangkat pulang.
Bertemakan, "Lestari Agro, Perak Makmur", Perak Agrofest yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Sept hingga 1 Okt 2023 merupakan program dwitahunan dan diadakan secara berselang seli dengan program Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
la merupakan platform mempromosikan produk berasaskan pertanian, inovasi dan teknologi terkini di samping memberi peluang kepada usahawan terutama usahawan Perak memperkenalkan produk hasilan mereka ke pasaran yang lebih tinggi. - BERNAMA
#Sultan Nazrin Shah #Perak Agrofest 2023 #Lestari Agro Perak Makmur #Saarani Mohamad
;