Sultan Nazrin berkenan rasmi Masjid Abdul Rahman Auf, sertai takbir Aidiladha

Bernama
Jun 16, 2024 23:11 MYT
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 8.27 malam disambut Saarani dan Ahmad Suaidi. - Gambar Bernama
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 8.27 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Harith Fadzilah Abdul Halim.
Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan menarik tirai sebagai simbolik perasmian masjid itu.
Baginda kemudian berkenan menyertai takbir raya sempena Aidiladha dan menunaikan solat Isyak berjemaah bersama 300 jemaah sebelum berangkat pulang pada 9.25 malam.
Masjid Abdul Rahman Auf atau MAARUF pada awalnya adalah sebuah surau yang dibina di atas tanah berkeluasan 1,244 meter persegi pada 1 April 2004 dan siap dibina pada 1 April 2007 dengan kos pembinaan sebanyak RM930,577 serta boleh memuatkan 700 jemaah.
-- BERNAMA
#simbolik perasmian #takbir raya #MAARUF #berangkat pulang
;