Sultan Nazrin berkenan rasmi Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara

Bernama
Julai 23, 2024 06:53 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melihat pameran selepas merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh hari ini. - Foto Bernama
SERI ISKANDAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh, dekat sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga dalam sembah ucapannya berkata bangunan ABPM Wilayah Utara yang menelan kos RM40 juta itu siap dibina pada 2014 dan telah beroperasi dengan kekuatan seramai 50 pegawai diketuai seorang Komandan iaitu Pegawai Bomba Gred KB48.
"Bagi menyokong program latihan yang efektif, dinamik dan berkesan kepada pegawai-pegawai bomba, pembangunan fasiliti seperti simulator Compartment Fire Behaviour Training (CFBT), Breathing Apparatus Training Gallery (BATG), Rel Keretapi dan Simulator Gas Spill turut dibina," katanya.
Nga berkata pihak akademi juga memanfaatkan kemudahan lombong sedia ada bagi latihan penyelamatan di air, ternasuk kursus pengendalian bot dan pemantapan latihan bagi pasukan khas Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA).
Beliau berkata ABPM Wilayah Utara itu kini telah dijadikan hab dan pusat kecemerlangan bagi latihan penyelamatan di air.
Menurut Nga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini mempunyai lima buah akademi iaitu ABPM Wilayah Tengah di Selangor, ABPM Wilayah Timur di Terengganu, ABPM Wilayah Utara di Perak serta ABPM Wilayah Sabah dan ABPM Wilayah Sarawak.
Sementara itu, Nga berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-12, Rolling Plan ke-Empat (RP4), Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM267.6 juta di bawah Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE), JBPM merangkumi 17 projek baharu dan 47 projek sambungan seluruh negara.
"Bagi 2024, Kerajaan Perpaduan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM53.8 juta bagi projek baharu fizikal binaan yang merangkumi pembinaan baharu, naik taraf dan penyelenggaraan fasiliti kebombaan termasuk balai dan kuarters.
"Selain itu, peruntukan sebanyak RM64.8 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan projek baharu fizikal kelengkapan JBPM bagi 2024 bagi perolehan baharu dan penyelenggaraan jentera dan kenderaan bomba," katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata pelbagai kejayaan dan pencapaian cemerlang telah dilakar JBPM di peringkat nasional antaranya kejayaan misi mencari dan menyelamat dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor, selain memenangi Anugerah Kategori Emas Tertinggi bagi Anugerah Integriti Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 selain meraih tiga Anugerah Emas dalam AIGA 2023.
-- BERNAMA
#Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah #merasmikan Akademi Bomba #Tronoh