Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan 2023 Negeri Perak
Bernama
Julai 31, 2023 12:15 MYT
Julai 31, 2023 12:15 MYT
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda pada 9 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Asri Shukor.
Majlis dimulakan dengan dendangan lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen, Kem Sangro Taiping diketuai Mejar Muhiburrahman Khairulanuar.
Sebaik kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir (Last Post) dimainkan dan bendera Malaysia kemudian diturunkan.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa oleh Mejar Mohd Risal Osman dari Markas 2 Briged Infantri Malaysia dan diikuti deklamasi sajak bertajuk 'Pahlawanku' yang dideklamasikan oleh Kapten Sharifudin @ Abu Danial Abu Talib dari Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sebaik selesai, tiupan 'Rouse' kemudian dimainkan dan bendera Malaysia dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan keluar perbarisan menandakan penamat upacara.
Sultan Nazrin kemudian berkenan berangkat ke Majlis Santapan di Dewan Bankuet sebelum berangkat pulang.
-- BERNAMA