Sultan Nazrin berangkat ke majlis Permasyhuran Presiden KBGK 2024
Bernama
Januari 27, 2024 05:42 MYT
Januari 27, 2024 05:42 MYT
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis Pemasyhuran Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) 2024 di sini malam tadi.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam majlis itu, Naib Presiden Kelab Ragbi Negeri Perak Muhammad Hamzah Md Hamdan dimasyhurkan sebagai presiden ke-38 kelab berkenaan menggantikan Sheikh Izat Azhar Sheikh Ahmad.
Muhammad Hamzah merupakan usahawan yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Perak dan Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat.
Di majlis itu, Seniman Diraja Datuk Mohamad Noor Khalid atau Lat turut menerima Anugerah Khas KBGK.
Sementara itu, Muhammad Hamzah dalam ucapannya berkata di bawah biro kebajikan, kelab itu telah berjaya mengumpul dan menyumbangkan RM2.4 juta kepada pembinaan Maahad Tahfiz Addin di Kampung Sungai Ular, Bagan Datuk.
Beliau berkata kelab itu yang ditubuhkan pada 1976 dengan keahliannya terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli perniagaan, wakil politik dan golongan profesional, juga berjaya menganjurkan beberapa program kebajikan dan kemanusiaan
Menurutnya ia termasuk Program Kembali Ke Sekolah bersama Puncak Emas Infra bagi membantu anak yatim, sumbangan makanan di sekitar Ipoh dan Sitiawan hasil kolaborasi bersama 7E Perak, kutipan Bantuan Kemanusiaan Gaza dan bantuan Sumbangan Banjir Kampung Kelian, Batu Kurau.
-- BERNAMA