Sultan Nazrin ambil masa hampir dua dekad hasilkan naskhah terbaharu

Hasimi Muhamad
Julai 14, 2019 15:12 MYT
Sultan Nazrin bertitah baginda mengambil masa hampir dua dekad untuk menyiapkan naskhah setebal 531 halaman itu. -Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah terus menzahirkan rasa cinta terhadap Malaysia dan bidang ilmu pengetahuan apabila berkenan melancarkan buku terbitan terbaharu baginda, hari ini.
Buku bertajuk ‘Striving for Inclusive Development: From Pangkor to A Modern Malaysian State’ (Menongkah Pembangunan Terangkum: Dari Pangkor Kepada Malaysia Yang Moden) menceritakan mengenai sejarah ekonomi negara yang penuh pesona sepanjang tempoh 150 tahun lalu.
Sultan Nazrin bertitah, baginda mengambil masa hampir dua dekad untuk menyiapkan naskhah setebal 531 halaman itu yang mana ia memerlukan baginda menghasilkan dalam satu pemahaman yang mudah dan tersusun.
“Untuk merungkai ‘rahsia’ di sebalik sejarah, saya perlu menyelami dan menjalankan penyelidikan, dengan menghabiskan masa di arkib serta perpustakaan yang hanya disinari limpahan cahaya malap.
“Saya juga bertemu dengan ramai cendekiawan dan sejarawan ekonomi, selain merujuk kepada pakar membabitkan pelbagai bidang.
"Saya menghabiskan banyak malam dengan menelaah buku-buku tebal, tetapi dengan perkataan yang dalam cetakan kecil memerlukan saya memakai cermin mata sebelum saya melengkapkan buku ini," demikian titah baginda, di sini, pada Ahad.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Universiti Cambridge, Dr Ha-Joon Chang; pakar ekonomi dari Universiti Cambridge, Prof Emeritus Peter J Drake serta tokoh-tokoh akademik tempatan dan luar negara.
Titah Sultan Nazrin lagi, sejak dari zaman kanak-kanak hingga hari ini, baginda telah melalui pengalaman bagaimana Malaysia berkembang dan moden.
“Dari usia muda sehingga kini, saya melihat sendiri bagaimana Malaysia merintis pembaharuan untuk menjadi negara yang moden dan global.
“Saya menyaksikan detik rakyat kita meraih manfaat hasil kitaran pembangunan ekonomi, selain mengerah kudrat untuk menempa peralihan dari negara berteraskan pertanian di luar bandar kepada gaya hidup moden.
“Sesetengah cabaran kekal sehingga kini, namun yang baharu kian menjelma,” titah baginda.
Buku tersebut merupakan penerbitan kedua Sultan Perak selepas naskhah pertama yang dibukukan pada 2017 bertajuk ‘Memacu Ekonomi’.
#ekonomi #Kanak-kanak #Kemajuan Malaysia #Nashkah terbaharu #Striving for Inclusive Development From Pangkor to A Modern Mal #Sultan Nazrin Shah #Sultan Nazrin Shah lancar buku baharu #Sultan Perak
;