Sultan Muhammad V seru kerajaan Kelantan beri penekanan pengurusan bencana
Bernama
November 12, 2022 16:37 MYT
November 12, 2022 16:37 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan digesa menekankan kepentingan mewujudkan mekanisme pengurusan banjir yang menyeluruh berikutan negeri berkenaan sering dilanda bencana alam itu, titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
"Beta berharap pihak kerajaan negeri dapat memberi perhatian kepada keperluan untuk pembinaan Empangan Lebir bagi melengkapkan projek lembangan bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok yang dimulakan sejak lima tahun lepas," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Hari Keputeraan ke-53 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Sultan Muhammad V turut berharap supaya projek yang dilluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September lepas dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat termasuk jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai dan sambungan Lebuh Raya Pantai Timur 3.
Baginda turut menzahirkan kesyukuran ke atas projek berimpak tinggi di negeri ini seperti Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
"Infrastruktur ini dapat mewujudkan kemudahan jaringan perhubungan berkesan bagi meningkatkan daya saing negeri dalam aspek pelaburan," titah baginda.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui selepas majlis itu berkata kerajaan akan terus memberi komitmen dengan memberi tumpuan terhadap projek-projek berkaitan untuk memastikan kawasan yang sering kali terjejas banjir dapat diatasi dengan segera.
"Antara projek yang sedang kita laksanakan adalah seperti projek Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (Kesban) serta penambahbaikan sistem meteorologi dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kerajaan sentiasa komited untuk membantu rakyat terutama di kawasan berisiko dan memberi fokus kepada projek-projek utama berkaitan banjir demi masa depan negara," katanya.
-- BERNAMA