Sultan Muhammad V rasmi pembukaan sidang Parlimen penggal keenam

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Mac 5, 2018 03:07 MYT
Sultan Muhammad V memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Azlan Shah Baharom. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 10.44 pagi di Dataran Parlimen, disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Turut menyambut keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri SA Vigneswaran.


Sultan Muhammad V kemudian diiringi ke Peterana Diraja, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti sembah 'Hormat Diraja' oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya.


Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.
Ia diikuti dengan tembakan meriam 21 das serentak dengan lagu kebangsaan 'Negaraku' dimainkan.
Sultan Muhammad V kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Azlan Shah Baharom.


Selesai istiadat berkenaan, Sultan Muhammad V diiringi ke Bilik Diraja di Bangunan Parlimen untuk sesi bergambar sebelum ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah diraja.
Malah, sejarah turut tercipta apabila buat pertama kali Parlimen bersidang pada penggal keenam pada Parlimen ke-13.
Lazimnya, Parlimen hanya bersidang sehingga penggal kelima sahaja, sebelum dibubarkan untuk pilihan raya umum.
Bagaimanapun, perkara itu tidaklah menyalahi mana-mana peraturan kerana sesi Parlimen ke-13 masih belum berakhir dan hanya akan terbubar secara automatik apabila genap lima tahun mandat kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tamat tempoh pada 24 Jun 2018.
Seperti yang diuar-uarkan, usul "Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri bagi Semenanjung dan Sabah" dijangka antara agenda utama yang akan menghangatkan sesi mesyuarat kali ini.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 5 April sementara Dewan Negara bersidang selama sembilan hari dari 16 April hingga 30 April.
#Agong #Parlimen #Sultan Muhammad V #Yang di-Pertuan Agong