Sultan Mizan Zainal Abidin kurnia darjah kebesaran kepada 111 individu

Bernama
Jun 18, 2023 14:30 MYT
Pengurniaan itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Sultan Mizan Zainal Abidin. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta Pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.
Pengurniaan itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dan Pengarah Urusan Yen Tin, Datuk Tan Choo Meng mendahului senarai penerima dengan anugerah tertinggi iaitu Datuk Bergelar.
Ia diikuti pengurniaan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada dua penerima iaitu Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Eksekutif TSLAW Tower, Tan Sri Datuk Law Tien Seng.
Selain itu enam penerima dianugerahkan Darjah Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ), manakala 27 individu lagi dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT). Kedua-duanya membawa gelaran Datuk.
Antara penerima DSMZ termasuk Pengarah Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Aidi Ismail.
Selain itu Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZ) kepada 16 penerima; Setia Mahkota Terengganu (SMT) (10 penerima); Ahli Sultan Mizan Abidin Terengganu (AMZ) (12 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) (36 penerima).
- BERNAMA
#Sultan Terengganu #Sultan Mizan Zainal Abidin #Hari Keputeraan #darjah kebesaran
;