Sultan Mizan seru rakyat bersyukur akan kemakmuran, kedamaian di Malaysia

Bernama
Mei 2, 2022 13:37 MYT
Sultan Mizan berkenan menziarahi makam almarhum ayahanda baginda selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat dan umat Islam di negeri ini agar bersama-sama menginsafi diri dan bersyukur dengan nikmat kemakmuran serta kedamaian yang dikecapi negara.
"Sama-samalah kita berusaha dan berdoa, agar nikmat kemakmuran ini akan terus berkekalan bagi membolehkan kita sama-sama melaksanakan amal ibadah kepada Allah SWT dan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat," titah baginda dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri yang diraikan hari ini.
Dalam pada itu Sultan Mizan turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta, termasuk badan-badan sukarela yang sentiasa mengambil cakna atas keperluan dan kesusahan rakyat negeri ini yang terkesan dengan musibah banjir yang lalu dan COVID-19.
Titah baginda pelbagai bantuan dan penganjuran kempen kutipan derma telah diadakan bagi membeli keperluan harian kepada golongan yang memerlukan akibat kesusahan dan kesulitan yang dialami.
Semoga sumbangan yang diberikan akan meringankan beban yang terpaksa ditanggung dan memberi sinar kegembiraan kepada golongan yang terkesan terutama ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, titah baginda.
"Kepada para dermawan, beta doakan semoga setiap apa yang disumbangkan akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Ia menunjukkan bahawa setiap daripada kita sentiasa mengambil berat akan kesusahan saudara kita dan menggambarkan sifat persaudaraan sesama Islam masih terjalin utuh.
"Apa yang pasti dengan pelbagai musibah dan ujian yang melanda, ia tidak lain hanyalah semata-mata untuk mendekatkan kita kepada Allah SWT. Sedarlah bahawa segala ujian yang berlaku, ia mendidik kita tentang nilai kesabaran, ketabahan, dan melatih kita sebagai hamba yang hanya perlu bergantung harap kepada Allah SWT," titah baginda.
Dalam pada itu Sultan Mizan turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Terengganu dan baginda berdoa semoga segala amalan di bulan Ramadan lepas diterima Allah SWT serta baginda menyeru semua umat Islam supaya istiqamah dalam pelaksanaan ibadah di bulan Syawal ini dan bulan-bulan seterusnya.
-- BERNAMA
#Sultan Mizan Zainal Abidin #Hari Raya Aidilfitri #kutipan derma #golongan memerlukan
;