KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru kerajaan negeri supaya merangka dan bersedia melaksanakan pelbagai strategi pemulihan yang berkesan serta komprehensif bagi memulihan ekonomi negeri ekoran penularan pandemik COVID-19.

Sultan Mizan bertitah, baginda berharap dalam belanjawan tahun-tahun yang akan datang, kerajaan negeri memfokuskan perbelanjaan untuk pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri.

"Projek-projek pembangunan perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi dan keperluan jangka masa panjang.

"Semua perbelanjaan secara 'one-off' (sekali beri) perlu diteliti semula berdasarkan kedudukan dan komitmen kewangan semasa kerajaan negeri," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Teks titah baginda dibacakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sultan Mizan turut menyeru kerajaan negeri supaya memberi perhatian serius dalam usaha membangunkan sektor pertanian ke tahap lebih tinggi memandangkan sektor tersebut menjanjikan pulangan ekonomi yang berbaloi jika dilaksanakan dengan kaedah yang tepat.

Baginda berharap program dan insentif kepada petani, penternak dan nelayan dapat diteruskan dengan penambahbaikan pada masa akan datang.

Selain itu, Sultan Mizan juga mahu kerajaan negeri terus membantu golongan di bawah sektor industri kecil dan sederhana (IKS) daripada pelbagai sudut seperti bantuan sokongan kewangan, kemudahan premis perniagaan dan lain-lain agar mereka dapat terus bertahan dan menjalankan perniagaan.

"Sektor IKS antara sektor yang terkesan daripada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang dikuatkuasakan. Ramai peniaga pasar tani, pasar malam, pengusaha restoran dan lain-lain yang kehilangan punca pendapatan, ramai yang terpaksa gulung tikar dan menganggur kerana tiada kemampuan kewangan untuk terus bertahan," titah baginda.

Dalam perkembangan sama, baginda menasihati kerajaan negeri agar berusaha mengembleng pelbagai inisiatif untuk menarik pelaburan baharu dengan kolaborasi pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Pmint); Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi akibat COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Sultan Mizan berharap pengurusan pemberian vaksin di Terengganu dapat dilaksanakan sebaik mungkin supaya negeri ini dapat mencapai imuniti berkelompok pada hujung tahun ini, atau sebelum musim Monsun Timur Laut melanda.

Oleh itu, baginda juga menyeru seluruh rakyat Terengganu meningkatkan usaha mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera, kaunter pendaftaran vaksin di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta serta lain-lain ditetapkan kerajaan.

"Justeru itu, beta juga berharap tindakan lebih tegas diambil dalam memastikan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi supaya penularan kes baharu dapat diatasi dalam keadaan sektor ekonomi dibuka," titah baginda.

-- BERNAMA