Sultan Mizan rasmi Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin

Bernama
Jun 21, 2023 18:39 MYT
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin (tiga, kanan) berkenan menyempurnakan perasmian Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Mushaf Sultan Zainal Abidin yang menerapkan seni hiasan beridentitikan Terengganu.
Baginda bertitah sebuah pasukan khas yang terdiri daripada lima penulis khat anak tempatan dan seni hiasan telah dilantik untuk menghasilkan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin yang mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Mushaf dan mashaf merujuk kepada naskah al-Quran yang bertulis tangan.
Sultan Mizan bertitah penghasilan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin adalah yang terbaharu selepas penulisan terakhir oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin III pada 1890, iaitu kira-kira 120 tahun lepas.
"Al-Quran adalah kalamullah, rahmat beserta hidayah di dunia dan akhirat. Sejak detik ia (Al-Quran) diturunkan hingga kini, usaha mempelajari, membaca, menulis dan menyebarkannya berlangsung tanpa henti.
"Sesungguhnya penulisan Al-Quran ini adalah usaha terpenting dan pemeliharaan syariat Allah S.W.T yang perlu menjadi keutamaan umat Islam sama ada penguasa mahu pun rakyat," titah baginda pada Majlis Perasmian Mushaf Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Titah baginda, kesultanan Terengganu sejak dahulu lagi amat sinonim dan tersohor dalam menaungi aktiviti penghasilan mushaf, dan ia bukan sekadar penulisan, malah turut diakui pengkaji mempunyai keunikan dan motivasi dengan nilai tersendiri
"Susunan tulisan umpamanya, lebih kemas dan mewah dengan hiasan perada emas," titah baginda.
-- BERNAMA
#Sultan Terengganu #Sultan Mizan Zainal Abidin #Mushaf Sultan Zainal Abidin #naskah al-Quran #seni hiasan
;