Sultan Kelantan tarik balik gelaran Datuk dari Husam dan Wan Rahim
Astro Awani
Februari 7, 2018 13:37 MYT
Februari 7, 2018 13:37 MYT
Istana Kelantan telah menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada dua pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada Selasa.
Husam dan Wan Abdul Rahim menerima surat dari Setiausaha Kerajaan Kelantan petang Selasa yang memaklumkan Sultan Muhammad V berkenan menarik balik tauliah pelantikan yang membawa gelar Datuk Paduka.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu, Husam dan Wan Abdul Rahim memaklumkan mereka telah memulangkan semula darjah kebesaran itu hari ini.
"Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua telah mengembalikan Darjah Kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana Diraja pada hari ini, 7 Februari, 2018 di Istana Balai Besar.
"Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V," kata dua pemimpin Amanah itu dalam satu kenyataan.
Husam yang juga bekas exco kerajaan negeri kini pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan dan juga penasihat Amanah Kelantan.
Pemerhati politik berpendapat pelucutan gelaran dari Husam dan Wan Rahim itu memberi petanda bahawa Sultan Muhammad V kurang gemar terhadap usaha politik dua pemimpin Amanah itu serta ia sedikit sebanyak mencalarkan reputasi keduanya.
Pada 2010, Sultan Muhammad V pernah menarik balik pingat darjah kebesaran yang dikurniakan kepada nenda saudaranya sendiri iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.
Selain itu, pada tahun yang sama Sultan Muhammad V turut menarik balik darjah kebesaran dari bekas setiausaha kerajaan negeri, Wan Hashim Wan Daud dan juga Presiden NGO Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
Pelucutan gelaran dari tiga tokoh pada 2010 itu ekoran kenyataan mereka berhubung isu pelantikan baginda sebagai Sultan Kelantan.
#darjah kebesaran
#datuk paduka
#Husam Musa
#Ibrahim Ali
#Kelantan
#lucut
#Malaysia
#pingat
#Sultan Kelantan
#Sultan Muhammad V
#tarik balik
#Tengku Razaleigh Hamzah
#Wan Abdul Rahim Wan Abdullah
#Wan Hashim Wan Daud