Sultan Kelantan mahu kerajaan negeri dan pusat kerjasama bantu mangsa banjir

Bernama
Mac 16, 2015 17:00 MYT
Sultan Kelantan mahu kerajaan negeri dan pusat kerjasama bantu mangsa banjir - Foto Bernama
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dipertingkatkan bagi membina rumah kekal kepada mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana luar biasa, Disember lepas.
Baginda berharap pembinaan rumah kekal dapat disiapkan dalam kadar yang sesuai supaya kehidupan mangsa banjir dapat kembali normal.
"Beta berharap kerajaan negeri dapat memastikan rumah-rumah tersebut dibina di atas tanah bersesuaian, mematuhi peraturan dan undang-undang," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-13 di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mengikut rekod Jawatankuasa Bersama Banjir Negeri Kelantan, terdapat sebanyak 1,827 rumah yang musnah sepenuhnya akibat bencana banjir di negeri ini.
Baginda mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang terlibat dalam kerja menyelamat serta menghulurkan bantuan kepada rakyat yang ditimpa musibah, sama ada ketika banjir atau pasca banjir.
"Tidak terkecuali ucapan penghargaan ini Beta tujukan kepada lain-lain kerajaan negeri di Malaysia dan negara-negara luar yang turut memberi bantuan kemanusiaan," titah baginda.
Sultan Muhammad V bertitah banjir besar itu yang turut melanda beberapa negeri lain telah meninggalkan kesan besar kepada ekonomi dan sosial rakyat.
"Sesungguhnya apa yang berlaku itu mempunyai hikmah tersendiri. Kita sebagai hamba perlu menerimanya dengan penuh keredaan," titah baginda.
Sementara itu, baginda bertitah kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak negatif daripada perubahan lanskap ekonomi berikutan senario ekonomi global sekarang yang mempamerkan trend penguncupan dan kelembapan.
Baginda bertitah, Malaysia dijangka menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar berikutan kejatuhan harga minyak global serta kejatuhan nilai ringgit yang mendadak berbanding negara Asia Tenggara lain di samping musibah banjir yang luar biasa.
"Suasana ini sudah pasti akan memberi kesan kepada prestasi kewangan dan pembangunan kerajaan negeri," titah baginda yang turut mahukan kerajaan negeri melaksanakan langkah penjimatan perbelanjaan operasi pentadbiran negeri di samping mengoptimumkan kutipan hasil.
Sultan Muhammad V bertitah, agar kerajaan persekutuan dapat menyegerakan projek kemudahan infrastruktur yang telah lama dirancang seperti projek Central Spine Road, laluan Gua Musang-Kuala Krai-Kota Baharu dan jalan persisiran pantai.
"Beta berharap kerajaan persekutuan akan memberi pertimbangan khusus kepada projek-projek infrastruktur negeri ini dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-11 nanti," titah baginda.
Baginda turut menyarankan kerajaan negeri mengambil langkah strategik memajukan beberapa subsektor produktif dalam sektor perkhidmatan seperti pelancongan, pemborongan, peruncitan dan kewangan mikro.
Baginda juga mahu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan mewujudkan suasana yang kondusif bagi menarik pelabur ke negeri ini dan memfokuskan Kelantan Selatan untuk pembangunan kawasan perindustrian baharu.
#banjir #Kelantan #kerajaan #Sultan Muhammad
;