Sultan Kelantan dukacita tidak dapat berbuka, solat tarawih bersama rakyat
Vivi Sumanti
April 21, 2020 12:44 MYT
April 21, 2020 12:44 MYT
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita apabila tidak dapat bersama berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama rakyat pada tahun ini.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Shafriman Nik Hassan berkata, Sultan Muhammad V tidak dapat meneruskan tradisi berbuka puasa dan menunaikan tarawih di masjid seperti sebelum ini.
"Sungguh pun demikian, baginda berharap agar rakyat jelata dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah di rumah masing-masing.
"Dalam masa yang sama, baginda mengampuni perkenan supaya peruntukan yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi tujuan program bersama baginda pada bulan Ramadan disalurkan untuk bantuan kepada golongan asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"MAIK juga perlu meneruskan penyaluran bantuan kepada asnaf di negeri Kelantan sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Shafriman berkata, Sultan Muhammad V juga menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah apabila melihat perkembangan semasa statistik kes jangkitan COVID-19 di Kelantan.
"Puncak jangkitan semakin melandai berikutan kes jangkitan yang berkurang.
"Walau bagaimanapun pematuhan fasa ketiga PKP ini penting dalam memastikan penularan virus COVID-19 dalam komuniti dapat dikawal dan diputuskan.
"Baginda sentiasa mendoakan supaya seluruh rakyat sentiasa dilindungi oleh Allah dalam menghadapi musibah wabak COVID-19," katanya.
#berbuka puasa
#COVID-19
#duduk di rumah
#Islam
#jemaah
#koronavirus
#masjid
#PKP
#puasa
#rakyat
#Ramadan
#Sultan Kelantan
#Sultan Muhammad V
#tarawih
#tradisi