Sultan Kedah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268
Bernama
Februari 5, 2025 13:16 MYT
Februari 5, 2025 13:16 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, turut berangkat ke mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 di Istana Negara diiringi Tunku Mahkota Ismail.
Kali terakhir mesyuarat berkenaan diadakan pada 23 Okt lepas selama dua hari yang dipengerusikan oleh Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
-- BERNAMA
#Mesyuarat Majlis Raja-Raja
#Istana Negara
#Sultan Kedah
#Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
#terkini