Sultan Johor zahir terima kasih kepada Singapura bantu ketika pandemik
Siti Nur Aqilla Omar
Disember 2, 2021 19:10 MYT
Disember 2, 2021 19:10 MYT
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan di Johor Bahru, hari ini.
Dalam hantaran terbaharu di laman sosial, Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Republik itu atas segala bantuan yang dihulurkan ketika tempoh negeri itu berhadapan cabaran pandemik COVID-19.
“Saya gembira dapat berjumpa dengan Encik Balakrishnan setelah sekian lama, akibat pandemik ini.
"Johor amat berterima kasih kepada Singapura atas segala bantuan yang dihulurkan ketika tempoh ini.
“Apa-apa yang berlaku kepada kita memberi kesan kepada Singapura, begitu juga sebaliknya. Justeru, adalah amat penting untuk hubungan baik antara kita sentiasa dijaga dan dipelihara,” titah Baginda.
Dalam pertemuan itu, Balakrishnan turut menyampaikan surat daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mempersilakan Baginda untuk membuat lawatan rasmi ke negara jiran itu.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.
Untuk rekod, Singapura menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan negeri Johor.
Sebelum ini, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu.
Selain itu, pada 28 Jun lalu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan sebanyak 500,000 pelitup muka dan 1,050 perkakas ventilator Non Invasive (BIPAP) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).