Sultan Johor zahir rasa kecewa, keadaan flat kos rendah ibarat 'reban ayam'

Siti Nur Aqilla Omar
Mei 15, 2023 16:28 MYT
Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.
Dalam hantaran terbaharu di laman sosial Facebook, baginda bertitah kebanyakan flat-flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif, serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’.
“Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama, dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut bertitah, baginda tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembersihan yang dijalankan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di negeri ini.
"Kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan (pembersihan) atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.
“Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah.
"Baginda menegaskan KPKT perlu mengambil perhatian perkara-perkara yang disampaikan baginda demi kepentingan rakyat,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Pertemuan bersama DYMM Sultan Johor berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman.
#Sultan Johor #Sultan Ibrahim #Nga Kor Ming #flat kos rendah #reban ayam
;