Sultan Johor titahkan hentikan kurnia tanah kerajaan dan rizab hutan

Astro Awani
Ogos 15, 2013 18:09 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah supaya dasar mengurniakan tanah kepada peneroka tanah kerajaan atau rizab hutan diberhentikan.
Titah baginda, amalan itu dilihat hanya memberi keistimewaan kepada penceroboh untuk meneroka tanah berkenaan dengan mendirikan rumah kediaman atau rumah setinggan sekali gus menyebabkan tanah berkanaan kotor dan tidak teratur.
"Saya mahu dasar ini diberhentikan kerana seolah-olah member keistimewaan kepada penceroboh dan tidak berlaku adil kepada rakyat yang patuh kepad undang-undang. begitu juga dengan tanah atau rizab kerajaan di kawasan bandar untuk didirikan rumah kediaman atau dikenali dengan kawasan setinggan. setelah 50 tahun merdeka isu ini masih tidak dapat diselesaikan kerana kerajaan terlalu berlembut dalam mengambil tindakan," titah baginda semasa merasmikan persidangan pertama bagi Dewan Negeri Johor yang ke-13.
Sultan Ibrahim bertitah, pejabat tanah perlu menjalankan pemantauan dan tegas dalam pengkuatkusaan bagi membendung pencerobohan dan pembalakan haram.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan harus mengkaji semula rizab orang asli bagi memastikan ia kekal sebagai hutan dan bukan diteroka untuk tujuan pembalakan atau pertanian.
Titah baginda lagi, pembangunan pesat di negeri itu menyebabkan kos sara hidup yang meningkat dan harga rumah yang melambung.
"Kadar pelaburan yang tinggi di negeri ini sepatutnya meningkatkan taraf hidup rakyatnya dengan pekerjaan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih selesa. tetapi malangnya kehidupan rakyat yang menjadi semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat dan harga rumah yang melambung tinggi.
"Oleh itu kerajaan perlu bertindak segera membantu rakyat tempatan memiliki rumah yang sesuai dengan kemampuannya. program perumahan rakyat dan perumahan mampu milik haruslah dibina dengan sempurna di dalam kawasan bandar yang cukup dengan kemudahan asas dan system pengangkutan yang baik," titah baginda lagi.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut bertitah agar pendidikan sekolah agama di negeri berkenaan diperkukuh agar penerapan nilai keagamaan pada peringkat awal boleh menjadi contoh kepada negeri lain dalam menyediakan sekolah agama kepada rakyat.
#rizab hutan #Sultan Johor #tanah kerajaan
;