Sultan Johor tidak akan tergesa-gesa buat keputusan cuti hujung minggu

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 23, 2022 11:43 MYT
SULTAN IBRAHIM: Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor. - Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad.
Titahnya, isu itu tidak perlu dipolitikkan dan tumpuan seharusnya diberikan kepada pembangunan ekonomi dan kepentingan rakyat.
“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan.
"Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.
“Buat masa ini saya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri Johor serta kepentingan rakyat.
"Kerajaan negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titahnya.
Justeru, Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.
“Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor,” titah baginda.
BACA: Penyelarasan cuti hujung minggu negeri, dapatan kajian akan dipersembahkan kepada Sultan Johor - MB
Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama Negeri Johor.
Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang dilaksanakan di Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Negeri Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.
#Sultan Johor #cuti hujung minggu #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
;