Sultan Johor terima taklimat berkaitan Pulau Batu Puteh

Astro Awani
Oktober 21, 2021 17:43 MYT
Pertemuan berlangsung lebih sejam di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru. - Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berhubung isu Pulau Batu Puteh.
Pertemuan berlangsung lebih sejam di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru dan turut disertai Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.
Terdahulu pada 14 Oktober, Sultan Ibrahim menitahkan agar mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.
Baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Dalam reaksinya, Dr Mahathir berkata Pulau Batu Puteh hanya beting yang dituntut Malaysia dan Singapura.
Pada 9 Oktober lalu, Kabinet mencapai persetujuan agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan kes Pulau Batu Puteh.
#Sultan Johor #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Pulau Batu Puteh #Mahathir Mohamad
;