Sultan Johor terima menghadap Mohamed Khaled

Bernama
Disember 16, 2023 17:37 MYT
Pertemuan Sultan Ibrahim dengan Ahli Parlimen Kota Tinggi yang juga bekas Menteri Besar Johor itu berlangsung di Johor Bahru, hari ini.- Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan yang baharu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi baginda, pertemuan Sultan Ibrahim dengan Ahli Parlimen Kota Tinggi yang juga bekas Menteri Besar Johor itu berlangsung di sini, hari ini.
Mohamed Khaled, 65, merupakan Menteri Besar Johor yang ke-15, yang memimpin kerajaan negeri daripada Mei 2013 sehingga Mei 2018.
Beliau yang sebelum ini memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, dilantik sebagai Menteri Pertahanan susulan rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, Selasa lepas.
Rombakan itu merupakan pertama kali dilaksanakan selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
-- BERNAMA
#Sultan Johor #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Mohamed Khaled Nordin #Menteri Pertahanan
;