Sultan Johor terima kunjungan kepemimpinan PH Johor pada pagi Aidilfitri
Bernama
Jun 9, 2019 17:26 MYT
Jun 9, 2019 17:26 MYT
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah terlebih dahulu berkenan menerima kunjungan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor pada Hari Raya pertama, Rabu lepas.
Menurut catatan terbaharu dalam laman Facebook Sultan Johor yang disertakan beberapa gambar hari ini, kepemimpinan Kerajaan Negeri Johor diketuai Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, antara yang pertama mengunjungi Istana Bukit Serene, di sini, pada pagi Aidilfitri.
Ketibaan mereka disambut mesra Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta keluarga Diraja Johor dan kemudian turut diraikan dalam satu majlis santapan pagi bersama baginda serta keluarga Diraja.
Menurut catatan berkenaan, Sultan Ibrahim kemudian berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Johor di Saujana, di sini, pada hari sama, dan baginda turut beramah-mesra bersama para pengunjung serta penyokong PH dengan mengenepikan segala protokol.
Sultan Ibrahim juga menyambut kehadiran rombongan kepemimpinan PH Johor pada Majlis Rumah Terbuka Istana Johor, pada Hari Raya kedua, Khamis lepas, di Istana Pasir Pelangi, di sini.
Baginda meluangkan masa serta beramah-mesra bersama kepemimpinan Kerajaan Negeri Johor di Khemah Diraja pada majlis berkenaan.
Menurut catatan itu lagi, Sultan Johor sentiasa mengalukan-alukan kehadiran pelbagai pihak dalam mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama umat Islam.
-- BERNAMA
#Aidilfitri
#Istana Pasir Pelangi
#Johor
#Pakatan Harapan
#politik
#Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
#Sultan Johor