Sultan Johor sedia balas kad raya rakyat
Bernama
Mei 20, 2019 00:11 MYT
Mei 20, 2019 00:11 MYT
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bersedia mengutus kembali kad ucapan Hari Raya yang diterima daripada rakyat jelata.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah orang ramai boleh mengirimkan kad ucapan berkenaan ke alamat Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru dan kad yang diterima akan diutus kembali oleh baginda.
"Saya percaya bahawa mengutus kad Hari Raya secara tradisional dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.
Malah, saya turut membaca banyak komen-komen di laman Facebook rasmi saya yang bertanyakan mengenai kiriman kad Hari Raya daripada saya," titah baginda hari ini.
Pagi tadi, Sultan Ibrahim turut berkenan menandatangani sebanyak 100 kad ucapan Hari Raya daripada baginda dan juga Keluarga Diraja Johor di Istana Pasir Pelangi.
Secara lazimnya pada setiap tahun, baginda berkenan menandatangani sendiri setiap kad ucapan Hari Raya yang kemudian disampaikan kepada orang kenamaan, pegawai kerajaan, kakitangan Istana Johor serta orang awam.
-- BERNAMA
#balas kad raya
#hari raya
#Istana Pasir Pelangi
#rakyat jelata
#Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
#Sultan Johor