Sultan Johor rasmi Majlis Pecah Tanah projek RTS secara maya
Hasimi Muhamad
November 22, 2020 15:06 MYT
November 22, 2020 15:06 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, di Istana Serene Johor Bahru, hari ini.
Turut berangkat tiba dalam majlis tersebut, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Majlis perasmian membabitkan projek sejauh empat kilometer itu buat julung kalinya diadakan secara maya, yang turut dihadiri tetamu kehormat lain di beberapa lokasi berbeza.
Hadir sama antaranya Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim.
Ia kemudian disusuli dengan Majlis Pecah Tanah yang diadakan di Tapak Bakal Bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di Bukit Chagar, Johor Bahru.
Menurut, Mohd Zarif projek RTS dijangka mengubah landskap pembangunan Johor, selain merancakkan kegiatan ekonomi di negeri itu.
Jelasnya, projek yang dijadual beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2026 itu akan mengukuhkan status Johor sebagai sebuah pusat tumpuan modal insan terbaik di serantau.
"Adalah penting untuk projek RTS dilakukan mengikut jadual dan piawaian antarabangsa demi memenuhi aspirasi pembangunan bandar raya Johor Bahru.
"Sultan Ibrahim turut berkenan untuk mengadakan satu pertandingan mereka bentuk luaran stesen RTS yang mencerminkan ciri-ciri negeri Johor dan mengembalikan nostalgia kereta api Melayu yang bermula di negeri ini," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zarif berkata tarikh pertandingan akan dibuka bermula esok (23 November) sehingga 11 Disember, dan pemenang utama akan menerima hadiah bernilai RM250,000.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan sebanyak lapan set tren dijangka beroperasi, dengan kekerapan perjalanan RTS adalah setiap 3.6 minit pada waktu puncak, sementara enam minit pada waktu biasa.
Pembinaan RTS Link fasa satu dijangka bermula pada Januari 2021 selama empat tahun membabitkan pembangunan dan struktur sivil.
Projek yang menelan kos RM3.7 bilion itu dijangka mampu menampung 10,000 penumpang bagi setiap perjalanan dengan maksimum 288,000 penumpang sehari.
Projek tersebut turut melibatkan pembinaan dua CIQ masing-masing di Bukit Chagar dan Woodlands di Singapura.