Sultan Johor perkenan Dewan Negeri Johor bersidang bermula 12 Ogos
Hilmi Malik
Jun 23, 2021 13:11 MYT
Jun 23, 2021 13:11 MYT
KUALA LUMPUR : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan agar persidangan Dewan Negeri Johor mula bersidang pada 12 Ogos.
Sultan Ibrahim dalam masa sama berkenan untuk merasmikan pembukaan penggal persidangan keempat itu seperti tarikh yang telah ditetapkan yang bakal diadakan di Kota Iskandar.
"Saya mahu semua Ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan Negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi Negeri Johor dengan sebaiknya.
"Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini. Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus COVID-19 masih belum dapat diselesaikan," titah Baginda menerusi perkongsian di laman Facebook pada Rabu.
Baginda bertitah demilkian sebaik sahaja menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bersama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani serta Penasihat Undang-Undang Johor, Tuan Amir Nasruddin pada pagi Rabu.
Selain itu, Baginda turut menerima mengadap Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu bagi mendapatkan perkembangan berhubung situasi COVID-19 di negeri berkenaan.
#Sultan Johor
#COVID-19
#Hasni Mohammad
#Menteri Besar Johor
#Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
#sidang DUN Johor