Sultan Johor pandu tren ke stesen Segamat
Astro Awani
Februari 19, 2016 12:48 MYT
Februari 19, 2016 12:48 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan memandu sendiri tren Keretapi Tanah Melayu Berhad, empat hari selepas baginda memandu sendiri tren KTMB ke Segamat, Johor.
Kali ini, baginda memandu tren khas dari Stesen Kuala Lumpur ke Segamat melibatkan perjalanan sejauh kira-kira 378km.
Ini merupakan kali kesepuluh baginda memandu kereta api selepas kali terakhir pada empat hari lepas dari JB Sentral ke Segamat.
Sultan Ibrahim memandu tren itu dengan diiringi dua pemandu lokomotif KTMB Mohd Kamal Asmawi dan Supawi Ismail.
Kedua-dua pemandu tersebut mempunyai pengalaman antara 10 hingga 20 tahun memandu kereta api KTMB.
Sebelum bertolak, Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Mohd Noordin Kimi membacakan doa sebelum tren yang dipandu Sultan Johor itu memulakan perjalanan.
Turut hadir, Presiden KTMB Lt Kol (B) Sarbini Tijan.
Kereta api berkenaan memulakan perjalanan dari Stesen Kuala Lumpur kira-kira 10 pagi dan dijangka tiba di Stesen KTMB Segamat pada kira-kira 4.45 petang.
Perjalanan yang melalui enam stesen KTMB itu membabitkan tren empat gerabak yang mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh jam.
Baginda memiliki lesen memandu kereta api Kelas 26 pada 28 Jun 2010.
#empat hari selepas baginda memandu sendiri tren KTMB ke Segamat
#Johor
#Mohd Kamal Asmawi
#Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan memandu sendiri tren Keretapi Tanah Melayu Berhad
#Sultan Johor
#Supawi Ismail