Sultan Johor mohon kerajaan salur bantuan khas pascabanjir

Siti Nur Aqilla Omar
Mac 16, 2023 11:30 MYT
Baginda bertitah pada pembukaan rasmi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi Penggal Persidangan Kedua di Kota Iskandar, Johor. - Astro AWANI
ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memohon Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan khas selepas situasi banjir di negeri ini reda.
Baginda bertitah peruntukan khas tersebut bagi membaik pulih infratuktur awam dan harta benda yang telah rosak dan musnah akibat banjir.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan terima kasih baginda kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Persekutuan dan semua pihak atas bantuan serta sumbangan yang dihulurkan kepada rakyat negeri ini ketika berada dalam keadaan sukar.
"Terima Kasih kepada Perdana Menteri yang beri peruntukan kewangan segera bagi meringan beban mangsa banjir dan meluluskan projek tebatan banjir di Kota Tinggi, Batu Pahat dan Segamat untuk dilaksana segera.
"Selepas bencana ini berakhir, saya berharap Kerajaan Persekutuan boleh beri peruntukan khas untuk baiki infrastuktur awam yang rosak dan harta benda yang telah musnah.
"Saya juga menyeru orang ramai hulur bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir, agar mereka dapat baiki rumah yang telah rosak dan mengganti perabot dan alatan rumah yang musnah," titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Pembukaan Rasmi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi penggal Persidangan Kedua di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Baginda turut menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap rakyatnya yang terpaksa berhadapan dengan musibah banjir yang sangat mencabar.
"Saya harap mereka sentiasa sabar dan tabah hadapi ujian dan dugaan ini.Banjir yang berlaku ini adalah berpunca daripadar taburan hujan luar biasa, iaitu hampir dua kali ganda banyaknya dari purata hujan bulanan.
"Malah jumlah hujan yg turun dua hari iaiatu pada 28 Februari lalu dan 1 Mac lalu telah melebihi jumlah rekod hujan sebulan.
"Suka saya mengatakan ucapan penghargaan kepada semua petugas yg bekerja beetungkus lumus, siang dan malam untuk bantu dan menyelamatkan mangsa banjir.
"Terima kasih kepada semua pihak yang hulurkan sumbangan kewangan, bekalan makanan, alatan pembersihan dan yang penting bantuan tenaga sukarela dari pelusuk tanah air.
"Saya sangat bangga dengan semangat kerjasama dan bantu membantu tanpa mengira kaum dan agama, ini budaya kita yang mesti dipertahankan," titanya.
#banjir #peruntukan khas #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #pascabanjir
;