Sultan Johor mahu pemimpin Melayu muafakat, selesai kemelut perebutan kuasa
Bernama
November 22, 2017 20:07 MYT
November 22, 2017 20:07 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini melahirkan rasa kebimbangan baginda terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu pada masa ini dan menasihati semua pemimpin Melayu untuk bersama berbincang masalah bangsa dengan cara bermuafakat dan berlapang dada.
Baginda bertitah sebagai Raja yang telah berjanji dan berikrar untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan Agama Islam maka baginda tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku hingga membuatkan orang Melayu berpecah belah dan menjadi lemah.
"Dari hari ke sehari, orang Melayu terheret dengan krisis kredibiliti yang mencalar imej dan kepercayaan kepada institusi yang dipimpin oleh orang Melayu, yang akhirnya menyusutkan keyakinan, pengaruh dan kuasa sebenar orang Melayu.
Kekusutan sebegini membuatkan hati saya merasa bimbang, dan saya mengambil pendirian untuk mengingatkan orang Melayu supaya mencari penyelesaian dengan segera," titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO), bersempena Hari Keputeraan baginda yang ke-59.
Dalam kenyataan bertajuk "Pesanan Buat Orang Melayu Johor", Sultan Johor berharap kepentingan dan pengaruh orang Melayu dijaga sebaik-baiknya tanpa sebarang kompromi dan dolak dalih, terutama di Johor yang dikatakan sebagai negeri yang menjadi benteng dan bermulanya perjuangan Melayu.
Sehubungan itu, baginda mengambil pendirian untuk mengingatkan orang Melayu supaya mencari penyelesaian segera sambil menyaksikan orang Melayu bangkit bersatu untuk menjadi bangsa yang besar dan berpengaruh, tanpa perlu menyinggung atau mengenepikan bangsa lain.
"Jangan hanya sibuk melaungkan tentang hak keistimewaan, tetapi sesama bangsa Melayu, hidup leka dan bersengketa.
Untuk itu, suka saya nasihatkan semua pemimpin Melayu supaya bermuafakat, duduk semeja dan berlapang dada untuk berbincang tentang masalah bangsa dan memberi fokus untuk meningkatkan maruah serta menjaga kepentingan orang Melayu," titah baginda.
Baginda berharap pemimpin Melayu juga dapat menunjukkan keikhlasan dalam perjuangan membela nasib orang Melayu dan bukannya mengambil segala kesempatan untuk kepentingan diri sendiri sahaja.
"Kembalikan rasa percaya dan rasa setia orang Melayu kepada para pemimpinnya. Saya yakin, dengan adanya perdamaian dan permuafakatan, segala masalah dan cabaran akan dapat diatasi demi mencapai tujuan sama untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh orang Melayu,
Saya berharap semua pemimpin Melayu dan orang Melayu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk kepentingan bangsa. Semoga usaha ini membuahkan manfaat besar kepada tanah air, dan untuk generasi kita yang akan datang," titah baginda.
-- BERNAMA
#Bangsa Johor
#Johor
#Melayu
#Muafakat
#pemimpin Melayu
#rakyat Malaysia
#Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
#Sultan Johor