Sultan Johor kecewa segelintir Orang Asli ceroboh hutan simpan
Bernama
Mac 16, 2023 19:27 MYT
Mac 16, 2023 19:27 MYT
ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menzahirkan kekecewaan berikutan ada segelintir Orang Asli menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.
Baginda percaya terdapat orang luar yang menjadi dalang dalam hal ini dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.
"Malah ada juga yang cuba menuntut 'kawasan rayau' yang tidak masuk akal. Kalau hendak diikutkan, semua yang ada di dalam dewan ini pun banyak tempat merayau," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Bagi Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Menurut Baginda, sejak dahulu kerajaan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli di negeri Johor dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemberian bantuan bagi menaik taraf kehidupan mereka.
Sultan Johor bertitah kerajaan juga telah menyediakan kawasan penempatan Orang Asli yang lebih tersusun dengan kemudahan bekalan air dan elektrik serta kemudahan awam yang lain untuk memberikan keselesaan.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh Perlembagaan, mereka juga wajib mematuhi undang-undang yang ada.
"Pencerobohan hutan adalah salah dan Orang Asli juga tidak terkecuali. Kerajaan mesti tegas dalam tindakan yang diambil dan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan dan melindungi hidupan liar.
"Saya menggesa kepada kerajaan supaya meletakkan semula kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah 'Sultanate Land' supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati," titah baginda.
Baginda bertitah tidak mahu pisang berbuah dua kali sekali gus mengulangi kesilapan dahulu seperti kes Orang Asli di Bekok sebelum ini.
-- BERNAMA