Sultan Johor cadang tubuh 'Bank of Johor' mudahkan rakyat buat pinjaman perumahan

Astro Awani
April 14, 2016 14:34 MYT
Titahnya baginda lagi, "Bank of Johor" turut diharap dapat memberi pembiayaan terhadap projek pembangunan selain membolehkan rakyat membuat simpanan tabungan dan pelaburan. - Foto Astro AWANI
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan bank sendiri atau “Bank of Johor”.
Ia bagi memudahkan rakyat negeri itu membuat pinjaman perumahan ekoran masih ramai rakyat yang tidak dapat memiliki rumah walaupun kerajaan Negeri dan Persekutuan membina banyak rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah.
“Negeri menubuhkan bank sendiri bagi memudahkan rakyat membuat pinjaman perumahan. Bank, yang dinamakan sebagai 'Bank of Johor', berkenaan turut diharap dapat memberi pembiayaan terhadap projek pembangunan selain membolehkan rakyat membuat simpanan tabungan dan pelaburan,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
MESTI BACA: 'Saya masih yakin kepimpinan Khaled Nordin' - Sultan Johor
Titahnya baginda lagi, “Bank of Johor” turut diharap dapat memberi pembiayaan terhadap projek pembangunan selain membolehkan rakyat membuat simpanan tabungan dan pelaburan.
"Dengan rizab wang tunai kerajaan negeri yang mencecah RM3 bilion dan pendapatan kerajaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri yang mencecah RM7.5 bilion setahun, sudah pasti mereka boleh menjadi pemegang saham untuk "Bank of Johor" ini," kata baginda lagi.
Sultan Ibrahim turut menyambut baik kerjasama yang dihulurkan Bank Rakyat kepada Yayasan Sultan Ibrahim untuk menyediakan pembiayaan pembelian rumah bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.
Titah baginda urusan pendaftaran permohonan pinjaman ini akan dibuka tidak lama lagi dan pemilihan akan dibuat oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan.
23 Mac lalu, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal mengumumkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM500 juta.
Ia membolehkan penjawat awam dan swasta yang layak di Johor mengemukakan deposit pembelian serendah satu ringgit bagi tempahan rumah kos rendah dan mampu milik.
Pembiayaan juga dicadang untuk 6,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman masing-masing.
#Bank of Johor #perumahan #rakyat johor #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Sultan Johor
;