Sultan Johor cadang gelaran mat rempit ditukar kepada 'brother motor'
Bernama
Mac 24, 2018 21:53 MYT
Mac 24, 2018 21:53 MYT
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mencadangkan supaya gelaran 'mat rempit' ditukar kepada gelaran 'brother motor' bagi mengubah imej penunggang motosikal.
Sultan Ibrahim yang juga peminat motosikal berkuasa tinggi bertitah gelaran 'mat rempit' berbunyi seperti sampah masyarakat dan menggambarkan golongan itu sebagai samseng jalanan.
"Imej penunggang motosikal harus diubah supaya dilihat lebih berdisiplin dan berhemah, dengan ini saya cadangkan nama 'mat rempit' ditukarkan kepada 'brother motor'.
"Ia akan menggambarkan adanya semangat perpaduan bagi semua peminat motosikal seperti satu keluarga yang harmoni," titah baginda semasa berangkat merasmikan Jambori Minggu Permotoran Malaysia (Malaysia Bike Week) (MBW) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini hari ini.
Turut hadir pada acara anjuran GPMoto itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Eksekutif GPMoto serta Presiden GPMoto Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan 'brother motor' supaya menghormati pengguna jalan raya yang lain dan tidak menggunakan jalan awam sebagai litar lumba.
"Dahulu saya pernah menegur penunggang motosikal yang berlumba dan membuat bising di hadapan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
"Cuba kita fikirkan apa perasaan pesakit. Mungkin jika ada 'brother motor' yang terlantar di katil hospital tersebut, dia mungkin mengeluh 'sampai hati lu bising-bising, gua kat dalam tengah sakit beb'," titah baginda secara berseloroh.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan ibu bapa supaya bersikap tegas dan menjaga tingkah laku anak-anak bagi menangani isu kemalangan motosikal di kalangan remaja dan orang muda yang sering menunggang mengikut perasaan.
"Jangan benarkan mereka menunggang motosikal jika tiada lesen. Biar dia menangis sekarang jangan sampai kita menangis kemudian hari," titah baginda.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya menzahirkan penghargaan terhadap Sultan Ibrahim atas kesudian berangkat ke acara itu dan memohon perkenan baginda untuk menjadi penaung diraja kepada MBW pada setiap tahun.
Ahmad Zahid juga memohon perkenan Sultan Johor agar dapat mempamerkan motosikal dan kenderaan milik baginda di acara itu pada setiap tahun.
Seramai 100,000 peminat motosikal dijangka berkunjung ke MBW 2018 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Sultan Ibrahim turut berkenan mempamerkan 40 motosikal Harley Davidson peribadi baginda, antaranya yang digunakan semasa program Kembara Mahkota Johor serta edisi khas untuk pertabalan baginda.
Selain motosikal, turut dipamerkan ialah trak Mack, kereta klasik dan kenderaan pacuan empat roda milik Sultan Ibrahim.
Pada acara itu, turut diadakan cabutan bertuah barang-barang bernilai RM500,000 termasuk 40 unit motosikal model Yamaha Y15 dan Benelli.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi
#brother motor
#GPMoto
#Harley Davidson
#Harley-Davidson
#litar lumba
#lumba
#Maeps
#Malaysia Bike Week
#mat rempit
#Minggu Permotoran
#motosikal
#pengguna jalan raya
#samseng
#Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar