Sultan Johor berkenan terima kunjungan TPM Singapura

Astro Awani
Jun 5, 2019 08:53 MYT
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan hormat Heng Swee Keat di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura, Heng Swee Keat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Bukit Serene di sini pada Rabu.
Entri yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan, ketibaan Swee Keat yang diiringi Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan disambut Baginda serta Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Turut hadir Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah,
Hadir sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Baginda dan keluarga diraja berkenaan meraikan tetamu dalam satu majlis santapan pada tengah hari.
Sultan Johor juga berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor sempena Aidilfitri.
#Heng Swee Keat #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #Sultan Johor #Sultan Johor berkenan terima kunjungan TPM Singapura #Timbalan Perdana Menteri Singapura