Sultan Johor beri penghormatan kepada dua wanita istimewa sempena Hari Ibu

Kohilah Sekaran
Mei 8, 2016 17:02 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, beri penghormatan kepada ibu dan isterinya di laman Facebook sempena Hari Ibu. - Sumber Gambar: Sultan Johor Offical Page
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengenang pengorbanan dua wanita yang istimewa dalam hidupnya; ibu Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah dan isterinya, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Idris Shah dalam satu mesej Hari Ibu.
"Hari ini, saya memikirkan tentang dua wanita yang paling penting dan istimewa dalam hidup saya: ibu dan isteri saya.
“Allah SWT telah memberkati saya dengan seorang ibu yang berani, dan isteri yang mengagumkan.
“Mereka sentiasa bersama disisi keenam-enam anak saya dan saya sendiri, dikala susah mahupun senang,” kata Sultan Ibrahim menerusi laman Facebooknya sambil berkongsi rakaman gambar mereka berdua.
Sultan Ibrahim turut merakamkan ucapan terima kasih atas kasih sayang yang dicurahkan oleh kedua-dua insan tersebut kepada keluarga mereka.
“Saya bersyukur diatas kasih sayang tanpa sempadan dan yang tidak berbelah bagi yang mereka berdua berikan kepada keluarga kami.
“Mereka berdua adalah insan cemerlang dan yang amat saya kasihi.
Malah, sultan yang paling digemari rakyat itu turut mengingati rakyatnya untuk menghargai ibu masing-masing.
“Saya berharap anda semua akan menghargai ibu anda. Hormatilah dan jagalah mereka dengan baik.
“Saya mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada semua yang bergelar Ibu. Moga Allah S.W.T. terus melimpahi rahmatNya buat anda semua sentiasa, InShaAllah."
#Hari Ibu #Johor #media sosial #sambutan
;