Sultan Ibrahim terima menghadap Wan Junaidi

Bernama
September 5, 2023 16:47 MYT
Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Puan Sri Fauziah Mohd Sanusi, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, dengan beberapa foto mengenai pertemuan itu, turut dikongsi di platform media sosial itu.
Berangkat sama dalam pertemuan itu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah sejurus baginda selamat berangkat tiba di sini dari Ipoh.
Mengikut hantaran tersebut, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, diadakan di Istana Bukit Serene di sini, membincangkan pelbagai perkara sebelum tetamu kehormat berkenaan diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-19, pada Jun lepas.
-- BERNAMA
#Sultan Johor #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah #Bukit Serene
;