Sultan Ibrahim tekankan tatakelola baik, tingkat imej negara - Ahli Penasihat Majlis Jumaah Diraja Johor

Bernama
Julai 20, 2024 14:30 MYT
Datuk Prof Dr Kassim Thukiman berkata agenda sama yang turut ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sekali gus menunjukkan gabungan kepimpinan yang mampu melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih baik. -Bernama
JOHOR BAHRU: Amalan tatakelola pentadbiran yang baik ditekankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terutama dalam membanteras isu rasuah dan penyelewengan, akan membawa kepada kemajuan dan meningkatkan imej negara pada peringkat antarabangsa.
Ahli Penasihat Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Prof Dr Kassim Thukiman berkata agenda sama yang turut ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sekali gus menunjukkan gabungan kepimpinan yang mampu melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih baik.
"Tuanku ada cita-cita yang sama dengan Perdana Menteri iaitu hendak tadbir urus yang baik, negara kita bersih daripada rasuah, penyelewengan.
"Malah, Seri Paduka Baginda selalu menegaskan penguat kuasa (perlu) sentiasa menjalankan tanggungjawab masing-masing supaya negara kita dihormati pada peringkat antarabangsa.
"Apabila negara kita amalkan konsep tadbir urus baik, sekarang ini, indeks negara kita pada peringkat antarabangsa semakin bagus kerana apabila (mengamalkan) konsep berkenaan, pelabur asing juga akan lebih yakin dengan negara kita," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini baru-baru ini.
Ahli Lembaga Arkib Negara Malaysia itu berkata Sultan Ibrahim memainkan peranan yang besar dalam memastikan negara berada di landasan yang betul dan ia boleh dilihat menerusi hantaran-hantaran di laman sosial rasmi Sultan Ibrahim yang menunjukkan Seri Paduka Baginda sentiasa mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, menteri dan pegawai kanan kerajaan berhubung hal semasa pentadbiran negara.
Beliau berkata hal ini jelas menunjukkan bahawa Seri Paduka Baginda mahu melihat segala perancangan dan dasar yang dibuat kerajaan dilaksanakan mengikut jadual untuk kepentingan rakyat.
"Tuanku sentiasa menitikberatkan tentang perjalanan (perancangan dibuat), hal ini supaya rakyat akhirnya akan mendapat manfaat hasil sistem pentadbiran yang telus dan teliti, kerana selama ini dalam kalangan rakyat melihat bahawa institusi diraja sebagai satu lambang sahaja, (Seri Paduka Baginda) datang ke sana dan ke sini (di sesuatu tempat) untuk merasmikan upacara bersifat istiadat.
"Tuanku secara terbuka tidak mahu macam itu, Seri Paduka Baginda secara terbuka mengatakan mahu memainkan peranan lebih besar untuk memastikan konsep negara bangsa kita ini dihormati pada peringkat antarabangsa dan akhirnya Tuanku selalu tekankan tentang kesejahteraan rakyat," katanya.
Kassim yang juga Ahli Lembaga Yayasan Warisan Johor dalam pada itu berkata Seri Paduka Baginda sering bertitah memberikan teguran kepada ahli politik agar mengutamakan kepentingan dan perpaduan rakyat daripada mainan politik agar dapat membawa kepada kestabilan negara.
"Seri Paduka Baginda sentiasa memberi teguran kepada ahli politik, sama ada negeri dan Persekutuan bahawa ahli politik ini tidak perlu bermain politik sepanjang masa, kerana yang lebih penting ialah memastikan kelangsungan sebuah negara.
"Pada akhirnya yang paling penting negara kita merdeka, berdaulat dan rakyat disantuni dengan kehidupan lebih bahagia kerana kita kena ingat hari ini akibat globalisasi, ekonomi negara juga dipengaruhi ekonomi dunia, jadi perkara macam ini selalu ditekan Seri Paduka Baginda bahawa penyatuan menjadi asas kepada perpaduan negara," katanya.
Justeru, beliau yakin Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Utama Negara akan terus memacu kemajuan negara untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat di negara ini.
"Tentunya pengalaman (memerintah) di Johor akan Seri Paduka Baginda gunakan sebagai Yang di-Pertuan Agong, meliputi seluruh negara, kerana kita perlu ingat banyak lagi usaha pembangunan negara di bawah dasar pembangunan nasional yang meliputi pelbagai perkara dan hal ini tentunya menuntut cabaran lebih besar yang perlu dihadapi negara, tambahan pula isu kedudukan ekonomi negara yang dipengaruhi oleh ekonomi global," katanya.
Kassim turut mendoakan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dilanjutkan usia dan diberikan kesihatan yang baik.
Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas dan Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Negara hari ini.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Raja Permaisuri Agong #Anwar Ibrahim
;