Sultan Ibrahim Power Plant, loji jana kuasa komersial pertama dunia guna turbin gas

Aiman Hakeem Awazmin
Mac 22, 2022 18:20 MYT
Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan perasmian Stesen Janakuasa Southern Power Generation (SPG) yang dimasyhurkan sebagai Sultan Ibrahim Power Plant di Pasir Gudang,hari ini. - Foto ihsan FB Sultan Ibrahim
PASIR GUDANG: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan perasmian Stesen Janakuasa Southern Power Generation (SPG) yang dimasyhurkan sebagai Sultan Ibrahim Power Plant di Pasir Gudang, di sini, hari ini.
SPG merupakan loji jana kuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas berteknologi paling cekap yang dihasilkan oleh General Electric (GE).
Teknologi pembakaran bahan api gas aslinya mampu menghasilkan 60 peratus tenaga elektrik dan kecekapan turbin gas berteknologi tinggi ini juga mampu menyumbang kepada pengurangan jejak karbon.
Baginda diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian turut berkenan mengadakan lawatan ke SPG.
SPG yang berkonsepkan kitar padu telah siap sepenuhnya dan memulakan operasi komersial pada 1 Januari 2021.
Pembinaan SPG dengan kos RM4.7 bilion ini adalah gabungan usaha sama di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SIPP Energy Sdn Bhd.
Ia juga menjadi satu mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air.
Dengan beroperasinya stesen ini, ia secara tidak langsung merancakkan dan menggalakkan lagi usaha pelaburan dari dalam dan luar negara.
Stesen ini juga menyediakan infrastruktur pembekalan tenaga elektrik yang mencukupi, berdaya harap serta stabil, sekali gus mampu menyakinkan pelabur untuk mengeluarkan modal menjalankan perniagaan di Johor.
#Sultan Ibrahim #Sultan Johor #Stesen Janakuasa Southern Power Generation #SPG #General Electric
;