Sultan Ibrahim mahu ATM tumpu peralatan berteknologi tinggi bagi Regimen Gerak Khas
Bernama
Ogos 12, 2023 20:08 MYT
Ogos 12, 2023 20:08 MYT
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memberi penekanan serta tumpuan khas terhadap peralatan berteknologi tinggi bagi Regimen Gerak Khas.
Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas itu bertitah ini bagi memastikan regimen berkenaan akan terus dapat memberikan khidmat dan mampu menyempurnakan misi yang dipertanggungjawabkan.
"Maka beta berharap pucuk pimpinan ATM akan terus memberikan keutamaan dalam pemilikan dan peningkatan perolehan di masa akan datang," titah baginda sempena sambutan Ulang Tahun ke-58 Rejimen Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing hari ini.
Titah ucapan baginda dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berangkat sebagai wakil rasmi Sultan Johor.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada pimpinan ATM dan Tentera Darat Malaysia atas keprihatinan serta kesungguhan dalam memastikan segala keperluan kelengkapan, persenjataan serta aset Regimen Gerak Khas berada pada tahap membanggakan.
"Pembangunan keupayaan Gerak Khas dapat dilihat dengan peningkatan perolehan aset perairan, persenjataan, komunikasi, peralatan penerjunan serta penambahbaikan kemudahan latihan seperti pembinaan kolam selam tempur.
"Ini termasuk aircraft compass wing dan menaik taraf rumah tempur jarak dekat," titah Sultan Ibrahim yang dimuat naik di laman Facebook rasmi baginda.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia
#Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
#teknologi tinggi
#regimen gerak khas
#ATM