Sultan Ibrahim dimasyhur Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII
Astro Awani
Januari 31, 2024 12:00 MYT
Januari 31, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini bagi tempoh lima tahun.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Pada istiadat itu turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Di hadapan Sultan dan Raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan, Sultan Ibrahim menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum itu, Sultan Ibrahim berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor pada 7.45 pagi sebelum berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke ibu negara.
Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira 9.45 pagi sebelum Sultan Ibrahim berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas yang turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.
Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015. - BERNAMA