Sultan Ibrahim dampingi rakyat tanpa protokol ketat, makan atas tikar mengkuang

Hasimi Muhamad
Januari 31, 2024 23:41 MYT
Sultan Ibrahim berkenan bersalaman dengan rakyat jelata pada Majlis Rumah Terbuka di Istana Besar Johor - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim lebih gemar mendampingi rakyat tanpa protokol yang ketat, selain menggalakkan Kerabat Diraja agar sentiasa bermesra dan prihatin dengan permasalahan rakyat.
Mengambil contoh penggunaan payung, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, Sultan Ibrahim tidak pernah menggunakan alat tersebut untuk memayungi baginda, sama ada dalam istiadat tertentu, mahupun ketika bertemu rakyat.
Kongsi beliau, penggunaan payung disifatkan sebagai satu objek yang boleh 'memisahkan' dan menjauhkan rakyat dengan Raja.
"Sejarah Istiadat Johor, kalau kita perhatikan Johor kita ada payung... kita ada payung kuning dan putih. Tetapi tengok tak pernah Raja Johor ini apabila baginda berjalan, baginda guna payung. Bila Raja memeriksa barisan kehormatan, dipayungkan... bila raja nak berjumpa dengan rakyat, dipayungkan. Johor tak ada.
"Kenapa? Hanya lah kita buka payung kuning atau putih untuk melindungi jenazah apabila hendak dikebumikan.
"Tuanku, anak-anak serta Permaisuri, bila berjumpa dengan rakyat, (mereka) ikhlas. Kalau boleh tuanku nak salam dengan semua (rakyat). Kalau ada 1,000 orang, 1,000 orang lah baginda nak salam," katanya dalam Dokumentari Khas, yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Rabu malam.
Abdul Rahim yang merupakan antara individu penting yang diamanahkan untuk mendidik Seri Paduka Baginda sejak dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor, menambah setiap minggu Sultan Ibrahim akan berangkat menunaikan solat Jumaat di seluruh pelosok kampung di negeri itu.
Malah, beliau berkata keperibadian Sultan Ibrahim yang mesra rakyat terserlah apabila Seri Paduka Baginda juga tidak mahu dilayan seperti Raja setiap kali bersantap bersama rakyat.
"Makanan (Sultan Ibrahim) mahu yang 'simple' (seperti) asam pedas dengan lauk nangka masak lemak ikan kering, dan sambal belacan. Ikut cara orang kita makan, tiada karpet, duduk atas tikar mengkuang dan makan pakai tangan.
"Ini keunikan Sultan Johor. Baginda begitu mendekati rakyat.... Apa yang rakyat buat, dia buat. Baginda tak tunjukkan, 'aku raja, aku mesti duduk atas meja', tidak. Baginda tak mahu duduk atas kerusi.
"Lepas makan, orang selalu hantar (air) basuh tangan, tetapi baginda tak nak. Baginda bangun pergi ke dapur dan basuh tangan," katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor Prof. Datuk Kassim Thukiman, berkata Sultan Ibrahim sanggup 'menghilangkan' sebahagian protokol terutamanya pada Kembara Mahkota Johor.
"Kalau kita lihat dalam konteks protokol Johor, ia sangat mudah dan tidak perlu adat sembah, hanya menundukkan kepala sahaja, dan ia sudah tanda hormat kepada Raja," katanya.
Sultan Ibrahim hari ini melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Turut melafaz sumpah memegang jawatan hari ini ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
#memagang jawatan #protokol Johor #tanda hormat #adat istiadat
;