Sultan Brunei diberi sambutan negara di Istana Negara

Bernama
Ogos 3, 2023 14:06 MYT
Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memeriksa kawalan kehormat pada Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini, sempena lawatan ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.
Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah pada 11 pagi diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri kabinet.
Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli tembakan meriam 21 das.
Sultan Brunei kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sultan Brunei bersama Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan menanam pokok simpor (Dillenia Suffroticosa) di halaman istana, dengan disaksikan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Tunku Azizah, Anwar dan Dr Wan Azizah.
Selepas istiadat itu, kedua-dua pemimpin turut mengadakan pertemuan di Dewan Seri Maharaja yang antara lain menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin sekian lama antara Malaysia dan Brunei.
Sultan Brunei juga diraikan dan diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara yang turut menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu.
Sultan Brunei seterusnya dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya petang ini dan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara Malaysia-Brunei.
Sebelum mengakhiri lawatannya ke Malaysia pada Jumaat, Sultan Brunei juga dijangka berangkat ke Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas malam ini.
Pada 2019, Al-Sultan Abdullah mengadakan lawatan negara ke Brunei selama tiga hari bertujuan mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama.
Brunei merupakan negara pertama yang dikunjungi Al-Sultan Abdullah selepas ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Pada 2022, Brunei merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM13.22 bilion (US$2.98 bilion), peningkatan 68.4 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021.
-- BERNAMA
#Sultan Brunei #Yang di-Pertuan Agong #Istana Negara #Anwar Ibrahim #lawatan rasmi
;