SULAM lahir pelajar berkaliber tinggi, sumbang kepakaran kepada komuniti
Ehsan A Marisah
Oktober 26, 2021 14:27 MYT
Oktober 26, 2021 14:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited memberikan ruang untuk pelajar menyumbang kepakaran dan kemahiran mereka kepada komuniti selain bekerjasama dengan industri serta kerajaan melalui inisiatif Service Learning Malaysi -University for Society (SULAM).
Ia merupakan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berlangsung pada 22 hingga 25 Oktober 2021.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, persidangan nasional pertama bertemakan ‘Inspiring Learners, Empowering Community’ itu menawarkan pemegang taruh platform bertukar pendapat, pengalaman dan penyelidikan.
“Kami sebagai penganjur berharap pertukaran pengalaman dan pandangan mengenai pembelajaran servis, memberikan manfaat kepada mereka yang hadir dan landskap pengajian tinggi terutamanya dalam pembelajaran servis.
“Terima kasih sekali lagi untuk penyertaan kalian dalam Persidangan Nasional pertama kami pada SULAM 2021,” katanya pada pelancaran Persidangan Nasional Pertama SULAM 2021, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menambah, melalui Sinergi SULAM yang disempurnakan pada 20 Disember lalu turut meningkatkan jaringan kerjasama antara pemegang taruh.
“Dalam merancakkan lagi inisiatif ini, pertandingan e-SULAM INNOVATE 2021 telah dilaksanakan bagi memastikan inisiatif SULAM ini masih boleh dilaksanakan secara dalam talian ketika negara dan seluruh dunia sedang menghadapi pandemik COVID-19.
“Sikap inovatif dan kreatif tenaga pengajar dan pelajar yang melaksanakan e-SULAM ini amat saya hargai. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memastikan inisiatif ini dapat diteruskan dalam apa jua keadaan,” katanya.
Sementara itu, kata Noraini, diharap kolaborasi yang telah terbina itu terus kekal terpelihara demi kesejahteraan dan manfaat komuniti setempat.
“Saya yakin dan percaya SULAM akan menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan pelajar IPT untuk lebih prihatin dan cakna terhadap isu masyarakat.
“Pelaksanaan SULAM ini juga menjadi platform terbaik untuk pelajar IPT bertindak sebagai ejen perubahan dan perantara masyarakat dengan pihak kerajaan, khususnya dalam menggerakkan program berbentuk kemasyarakatan melalui penguasaan dan penyerlahan kemahiran generik yang merupakan Atribut Graduan yang kita harapkan, ujarnya.
Persidangan itu menyaksikan sebanyak 50 kertas penyelidikan berkenaan SULAM dibentangkan yang merangkumi subtopik reka bentuk kursus, ekosistem, keterlibatan industri, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pembangunan pelajar, pembangunan komuniti, penyelidikan, strategi dan sumber manusia serta Sustainable Development Goals (SDG).