Suku kaum Jahai benteng terakhir Harimau Malaya

Azizul Azwa
Julai 27, 2024 20:30 MYT
Berusia 130 juta tahun dengan keluasan 300,000 hektar, Royal Belum terletak di utara Perak dan dianggarkan berkeluasan empat kali ganda keluasan negara Singapura - Foto/AWANI
GERIK: Hutan Royal Belum adalah antara khazanah hutan tertua di dunia.
Berusia 130 juta tahun dengan keluasan 300,000 hektar, ia terletak di utara Perak dan dianggarkan berkeluasan empat kali ganda keluasan negara Singapura.
Antara penghuninya, adalah Orang Asli dari suku kaum Jahai, antara enam suku Negrito yang sekian lama berjiran dengan harimau belang spesies Harimau Malaya.
Difahamkan, hampir 300 Orang Asli suku kaum Jahai mendiami hutan tebal itu sehingga bersempadan Malaysia-Thailand.
Jahai dan Harimau Malaya, kedua-duanya sangat sangat sinonim.
Apa strategi WWF?
Menurut statistik Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, ketika ini jumlah Harimau Malaya dianggarkan tidak sampai 200 ekor.
Menurut Pengurus Kerjasama Korporat WWF Malaysia, Fiona Cheong, pelbagai kaedah digunakan bagi mengelakkan Harimau Malaya daripada pupus.
Ramuannya adalah kerjasama dengan masyarakat Jahai dan menawarkan pekerjaan buat mereka sebagai Renjer WWF.
"WWF Malaysia bekerjasama dengan Orang Asli. Tiada yang lebih mengetahui landskap di sini, sebab mereka dilahirkan di sini, dibesarkan di sini sejak ratusan tahun. WWF menawarkan generasi sekarang pekerjaan seperti melakukan rondaan, memusnahkan jerat di hutan dan memasang kamera.
"Sebab WWF tidak mahu mereka hanya bergantung kepada bantuan sahaja," katanya.
Selama ini, katanya mereka hanya bergantung kepada hasil di hutan dan Tasik Banding, tetapi kini tidak lagi.
WWF menawarkan mereka peluang pekerjaan, sambil menjaga kampung halaman mereka sendiri.
Bukan mudah untuk menjalin kepercayaan antara WWF dan Orang Asli, untuk menjalin kerjasama erat.
Ini kerana masih ramai Orang Asli yang tidak tahu membaca, menulis kerana tidak bersekolah.
Katanya WWF, tidak menggunakan konsep mengajar tetapi lebih kepada kebersamaan.
''Kami mahu pandai bersama. Kami tidak tahu hutan, mereka tahu hutan. Kami pun belajar. Mereka tidak tahu menulis, membaca. Mereka pun belajar dengan kami.
''Kita mengambil masa untuk mengajar mereka daripada kosong, sampai boleh pakai GPS, boleh baca peta sendiri, boleh buat segala-galanya sendiri," kata Fiona.
Menurutnya lagi, objektif WWF bukan mahu sentiasa bersama Orang Asli, kerana satu hari nanti Orang Asli juga mampu melakukan segalanya tanpa bantuan lain.
Jangan ketepikan Orang Asli
Setakat ini 130 Orang Asli bekerja sebagai renjer, termasuk tiga pekerja tetap WWF di Hutan Royal Belum.
Sejak Yahya Charol bekerja sebagai Renjer WWF, beliau dapat merasakan perubahan kepada hidupnya.
Dianggap sebagai Duta Hutan Royal Belum, beliau pernah menjadi jurucakap mewakili WWF ketika persidangan di luar dan dalam negara.
''Untuk melindungi hutan ini memang penting dalam hidup saya, saya tak suka orang menceroboh tempat saya dan mencuri segala hasil yang ada dalam hutan ini," tegas Yahya.
Nantikan laporan seterusnya di Astro AWANI, cabaran sebulan di Hutan Royal Belum, mencari bukti dan merakam kehadiran Harimau Malaya.

* Artikel ini adalah yang pertama daripada tiga bahagian. Ikuti Laporan Khas tentang Harimau Malaya di AWANI 7:45 untuk tiga hari seterusnya.
#harimau Malaya #suku kaum Jahai #Orang Asli #suku Negrito #Harimau belang #WWF #Hutan Royal Belum
;