Sukma 2024: Syarikat penerbangan diharap tawar harga tiket mampu milik

Bernama
Julai 21, 2024 13:59 MYT
Inisiatif harga tiket mampu milik dilihat dapat memberi peluang kepada seluruh masyarakat untuk menyaksikan temasya dwitahunan terbesar berkenaan. - Gambar hiasan
ISKANDAR PUTERI: Syarikat penerbangan diharap dapat mengambil pendekatan menawarkan harga tiket mampu milik dari Semenanjung ke Sarawak sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di negeri itu bermula 17 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata inisiatif itu dilihat dapat memberi peluang kepada seluruh masyarakat untuk menyaksikan temasya dwitahunan terbesar itu.
"Jika pakej pelancongan sukan ditawarkan ia secara tidak langsung akan memberi impak limpahan ekonomi kepada Sarawak.
"Selain itu, kita turut harap tiada masalah penangguhan penerbangan kerana ini merupakan antara kebimbangan kita," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada pasukan kontinjen SUKMA Johor di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor Mohd Ekmaluddin Ishak dan Ketua Kontinjen SUKMA Johor Datuk Pandak Ahmad.
Mohd Hairi berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan kerajaan negeri terhadap syarikat penerbangan sekiranya rakyat Johor dan orang ramai berhasrat menyaksikan temasya itu.
Beliau dalam pada itu berkata Johor komited mahu mempertahankan dan mengulangi kejuaraan yang dilakar ketika SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, dengan sasaran sekurang-kurangya 60 pingat emas pada edisi kali ini.
Beliau berkata pihaknya optimis atlet Johor mampu membawa kemenangan meskipun sukan kanu yang menjadi penyumbang besar pingat emas buat negeri itu tidak dipertandingan pada SUKMA 2024.
Justeru, beliau berharap kesemua atlet yang terlibat dapat menunjukkan prestasi terbaik serta mampu menempuhi cabaran dengan tekad yang kuat dan tidak mudah berputus asa sekali gus mengharumkan nama negeri itu.
Sementara itu, Pandak berkata acara olahraga merupakan antara 'lubuk emas' yang akan menjadi fokus kontinjen selain memanah, judo, taekwando, silat dan bola sepak.
Beliau berkata kontinjen Johor akan diwakili 599 atlet dan 198 pegawai pada SUKMA kali ini.
Pada SUKMA 2022, Johor muncul juara keseluruhan apabila meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, sekali gus berjaya melepasi sasaran 40 emas.
-- BERNAMA
#SUKMA #Sarawak #harga tiket #tiket penerbangan